25 Tempat Makan Menarik Di Kelantan | Restoran Paling Best Dan Viral

Siapa kata Kelantan bukan syurga makanan? Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang ini sememangnya terkenal dengan pelbagai adat dan tradisi yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek zaman yang menjadi amalan kebanggaan rakyat mereka.

Ini termasuklah pelbagai makanan tradisional yang masih dipertahankan kualiti dan kesedapannya sehingga ke hari ini. Makanan di Kelantan ini sememangnya unik dan kadang-kala jarang boleh didapati di tempat lain selain daripada di Kelantan sendiri. Jadi, disini kami kongsikan senarai 25 tempat makan menarik yang terdapat di Kelantan dan wajib dikunjungi sekiranya anda melancong ke Kelantan.

25. Kopitiam Kita



Sinonim dengan perkataan ‘Kita’ yang terdapat pada nama restoran ini, pemilik Mr N.H.Wong ingin menampilkan konsep kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang dapat dipupuk melalui kunjungan pelanggan tanpa mengira bangsa untuk menikmati bersama sarapan pagi di restoran ini bagaikan sebuah keluarga besar.

Menu popular yang menjadi kegemaran pelanggan adalah Roti Tibab, idea cetusan pemilik restoran sendiri. Selain itu, restoran berkonsepkan layan diri ini turut menghidangkan nasi lemak, nasi air dingin, nasi tumpang dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional Kelantan yang dibuat terus daripada pembekal tempatan yang diyakini.

Tambahan pula, restoran ini sering menjadi pilihan selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Lisa Surihani dan Yusri, pemain bola sepak antarabangsa dan ramai lagi untuk bersarapan dan potret gambar bersama mereka diabadikan sebagai hiasan restoran buat tatapan pengunjung.



Restoran ini dibuka seawal jam 7pagi hingga 1.30 tengah hari sahaja dan beroperasi setiap hari kecuali pada hari raya aidilfitri dan aidiladha. Pastinya tidak rugi untuk kita merasai sendiri pengalaman bersarapan pagi sambil mendengar hiruk piruk pelanggan tidak kira bangsa bersembang loghat Kelantan sambil menikmati juadah tempatan.

24. Kedarotippaye (Kedai Roti Tempayan)



Satu lagi tarikan makanan di negeri Kelantan ini ialah Roti Tempayan. Roti yang diadun mengikut resipi warisan asli dan dibakar bersama arang di dalam tempayan pastinya memikat selera pengunjung dengan aroma dan kelembutan rotinya.

Tambahan pula, roti ini dihidangkan bersama pencicah pelbagai jenis kari atau gulai asli negeri Kelantan. Namun, selain daripada gulai kari kambing, daging dan ayam, yang sering menjadi pilihan pelanggan tentunya kari kepala ikan yang dimasak hasil tangan pemilik restoran sendiri.



Restoran yang berkonsepkan ala mamak ini juga turut menyajikan pelbagai jenis roti lain seperti roti canai, murtabak dan banyak lagi untuk dijadikan menu santapan pengunjung. Harganya juga amat berpatutan, jadi tunggu apa lagi? Cepat berkunjung dan merasai sendiri kesedapan roti tempayan yang unik ini.

23. Nasi Kerabu Panji



Nasi kerabu dan Kelantan memang tidak dapat dipisahkan. Nasi kerabu sememangnya mudah didapati di mana-mana sahaja di sekitar negeri Kelantan, namun, apa yang membezakan restoran Nasi Kerabu Panji ini dengan yang lain adalah kesedapan dan keaslian sambal cili serta lauk-pauknya terutamanya daging salai, ayam bakar dan solok lada. Tidak kurang juga ulam-ulamannya yang sentiasa segar.



Rata-rata pelanggan yang pernah mengunjungi restoran ini amat berpuas hati dengan hidangan yang disajikan dan pasti akan mengunjunginya kembali sekiranya teringin menikmati nasi kerabu. Tambahan pula, harganya amat berpatutan kerana hidangan lengkap nasi kerabu bersama ayam bakar boleh didapati pada harga hanya RM3.00 sahaja. Jadi, jangan lepaskan peluang ini ye!